Muzium 3D Kertih perkukuh jenama di Pantai Timur

MUZIUM 3D Kertih, galeri seni dan ilusi 3D pertama di Terengganu mahu memperkukuhkan lagi jenamanya di Malaysia, khususnya di Pantai Timur.

Nama muzium itu semakin dikenali di daerah Kemaman tetapi masih asing bagi masyarakat di negeri ini selain Kelantan dan Pahang setelah setahun beroperasi.

Justeru, tanpa menoleh lagi ke belakang, muzium yang diusahakan bekas wartawan, Lukman Ismail itu kini mempergiatkan promosinya terutama menerusi media sosial selain menambah jumlah lukisan yang ada.

Menurutnya, pada masa kini galeri seluas lebih 5,000 kaki persegi melibatkan dua unit bangunan satu setengah tingkat di Bandar Sri Kertih itu telah hampir dipenuhi dengan lukisan, termasuk lukisan tiag dimensi (3D).

Beliau berkata, pihaknya juga memperluaskan kaedah penjualan tiket dengan melantik ejen-ejen jualan di sekitar bandar Kertih selain memperkukuhkan kaedah pembayaran secara digital.

“Untuk permulaan kita tumpu di Kertih dan akan diperluaskan ke beberapa bandar lain di daerah Kemaman serta lain-lain tempat di negeri ini,” katanya.

Antara lukisan 3D yang menjadi perhatian pengunjung di Muzium 3D Kertih di Kemaman, Terengganu.

Muzium 3D Kertih mula beroperasi pada 2 Januari tahun lalu, namun berhadapan cabaran getir susulan pandemik COVID-19 yang semakin memuncak.

Malah muzium itu terpaksa ditutup selama empat bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sumber pendapatannya terjejas teruk.

Lukman yang juga Pengarah Urusan Serata Cakra Resources menganggap sepanjang setahun lalu merupakan proses pembelajaran baginya memandangkan inilah kali pertama beliau menceburi perniagaan setelah lebih 20 tahun menjadi wartawan.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana walaupun muzium tersebut tidak berada di lokasi tumpuan ramai, namun sambutan yang diterima semakin baik dari masa ke semasa.

“Pada masa ini kami mempromosinya secara agresif melalui media sosial kerana inilah kaedah paling cepat dan murah. Alhamdulillah, kebanyakan pengunjung mendapat maklumat daripadanya.

“Kami amat berbesar hati sekiranya para pengunjung kami dapat berkongsi gambar-gambar dan kenangan mereka di Muzium 3D Kertih dalam media sosial masing-masing,” katanya.

Diusahakan bersama adik beradiknya yang lain, Lukman berharap Muzium 3D Kertih dapat menjadi antara produk pelancongan pilihan pengunjung ke negeri Terengganu selepas ini.

Maklumat lanjut mengenai Muzium 3D Kertih boleh diperoleh dengan melawat laman web http://3dkertih.com.my atau ikutinya melalui Facebook, Instagram dan Tiktok atau hubungi 09-8251525 atau WhatsApp 011-10861165

Muzium 3D Kertih Rakan Strategik Terbaharu Kerteh FC

MUZIUM 3D Kertih dan Kerteh FC hari ini menjalinkan kerjasama bagi membantu mengembangkan produk pelancongan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Muzium 3D Kertih yang merupakan galeri seni dan ilusi 3D pertama di negeri Terengganu dan terbesar di Pantai Timur merupakan kebanggaan masyarakat tempatan.

Pada masa yang sama Kerteh FC merupakan kelab bola sepak yang semakin mendapat perhatian bukan sahaja di peringkat tempatan malah kini dikenali di luar negara.

“Melalui kesepakatan ini, Kerteh FC akan menggunakan rangkaian yang ada untuk membantu mempromosikan Muzium 3D Kertih. Kami mempunyai misi yang sama iaitu untuk menjadikan daerah Kemaman amnya, dan Kertih khasnya sebagai destinasi pelancongan. Apabila kompleks sukan kami siap kelak ianya akan menjadi daya penarik bagi pelancongan sukan.

“Justeru, sebagai kelab bola sepak komuniti di Kertih, kami berbangga dapat membawa bersama Muzium 3D Kertih untuk diperkenalkan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier.

“Kami berbesar hati kerana Kerteh FC bersedia bekerjasama dengan kami memandangkan Kerteh FC merupakan jenama yang semakin membesar dan semakin mendapat perhatian peminat bola sepak di negara ini.

“Diharapkan dengan kerjasama ini dapat membantu mempromosikan Muzium 3D Kertih dan menarik pengunjung ke muzium kami apatah lagi kini nama Kerteh FC turut dikenali di beberapa negeri di Eropah dan Australia,” kata Lukman Ismail, Pengarah Urusan Serata Cakra Resources, pemilik Muzium 3D Kertih.

Melalui kerjasama itu, logo Muzium 3D Kertih akan dilekatkan pada jersi latihan Kerteh FC dan kelab itu akan mempromosikan muzium itu dalam bahan-bahan kempen dan promosinya termasuk jualan tiket masuk galeri.

Manakala Muzium 3D Kertih pula turut mempromosikan Kerteh FC di galeri muziumnya serta menerusi bahan-bahan kempen dan promosi.

Di samping itu, Muzium 3D Kertih juga akan menjadi ejen jualan yang sah bagi barangan keluaran Kerteh FC.


Mengenai Muzium 3D Kertih:

Muzium 3D Kertih dimiliki oleh Serata Cakra Resources, merupakan galeri seni ilusi dan 3D pertama di Terengganu. Dengan keluasan kira-kira 5,000 kaki persegi dan lebih 50 karya seni, menjadikannya muzium 3D terbesar di Pantai Timur. Terletak di Bandar Sri Kertih, ia mula dibuka kepada orang ramai sejak 2 Januari lalu. Maklumat lanjut layari laman web www.3dkertih.com.my

Pengarah Muzium Terengganu antara pengunjung pertama

MUZIUM 3D Kertih baru-baru ini menerima kunjungan Muzium Negeri Terengganu diketuai oleh Pengarahnya, Tn Haji Che Mohamad Azmi Ngah.

Dalam kunjungan itu, Che Mohamad Azmi bersama dua pegawai pengiring telah melihat galeri pameran dan memberikan input-input penting untuk mempertingkatkan lagi kepuasan kepada pengunjung.

Beliau turut menyatakan kesediaan membantu mempromosikan Muzium 3D Kertih kepada para pengunjung muzium mereka.

Dalam masa yang sama Che Mohamad Azmi berkata, mereka juga sedia memberi sokongan yang diperlukan memandangkan Muzium 3D Kertih adalah yang pertama di negeri ini.

Rombongan diiringi oleh Pengarah Urusan Serata Cakra Resources, Encik Lukman Ismail bersama Pengarah Kreatifnya, Encik Shahabudin Ismail dan Pengurus Galeri, Encik Abd Halim Ismail.

Selang beberapa hari satu lagi rombongan dari Muzium Negeri Terengganu turut berkunjung ke galeri kami.

Kali ini rombongan terbabit mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan kepada Muzium 3D Kertih.

Muzium 3D Kertih: Tarik pelancong, cipta peluang pekerjaan komuniti setempat

SEJAK tahun 2018 lagi, idea untuk membuka sebuah muzium di Kertih, Terengganu berlegar-legar dalam kepala Lukman Ismail.

Ketika itu, beliau tidak mampu untuk merealisasikan impiannya itu disebabkan tuntutan tugas dan tanggungjawab yang digalas di bahunya sebagai salah seorang Pengarang di Utusan Malaysia.

Sebulan sebelum Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar, Lukman atau mesra dengan panggilan Luke dalam kalangan wartawan Utusan Online suatu ketika dahulu, mengambil keputusan untuk mendaftarkan sebuah syarikat sebagai penampan masa hadapan sekiranya berlaku sesuatu yang menjejaskan diri dan keluarganya.

Ternyata firasat beliau benar belaka apabila sebulan selepas mendaftar syarikat Serata Cakra Resources, Utusan gulung tikar dan beliau antara kira-kira 815 kakitangan yang kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Hari ini, sebagai Pengarah Urusan di Serata Cakra Resources, Lukman berjaya membuka Muzium 3D Kertih yang telah pun beroperasi sejak awal tahun ini iaitu pada 2 Januari, baru-baru ini.

Memenuhi undangan sebagai tetamu jemputan dalam segmen secara langsung di Suara Merdeka, Live Suara Merdeka pada tengah hari tadi, Lukman melahirkan rasa syukur kerana bukan sahaja dapat membuka muzium tersebut tetapi secara tidak langsung, mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat atau komuniti sekitar Kertih, Terengganu.

“Saya bersyukur kerana dapat membuka Muzium 3D di Kertih kerana sebelum ini, sebagai anak jati Kertih, saya tertanya-tanya, kenapa kita tidak ada muzim yang boleh menjadi salah satu tarikan pelancongan domestik dan luar negara.

“Hasrat itu lahir pada tahun 2018 tetapi tidak dapat dilakukan sehinggalah selepas Oktober 2020, selepas setahun hilang pekerjaan.

“Dengan modal RM15,000 saya memulakan langkah untuk membuka Muzium 3D Kertih dan menghadapi cabaran kerana harga barang di Kertih begitu tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kewujudan Muzium 3D Kertih ini telah mendapat perhatian daripada Muzium Negeri Terengganu dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri.

“Muzium Negeri Terengganu telah menghantar beberapa wakil mereka untuk memberikan khidmat nasihat kepada kami terutama dari segi kandungan galeri kami.

“Manakala pihak MOTAC Terengganu pula menyatakan komitmen untuk membantu kami terutama memberikan penilaian kepada galeri kami,” katanya.

Tujuan dibuat penilaian adalah untuk mengembangkan status Muzium 3D Kertih yang dibina di atas keluasan tapak 5,000 kaki persegi itu.

“Penarafan atau sokongan daripada pihak MOTAC dan Muzium Negeri Terengganu amat bermakna bagi saya dan segala khidmat nasihat untuk penambahbaikan ke atas Muzium 3D ini diberi oleh para pegawai berkenaan.

“Antara khidmat nasihat yang dihulurkan adalah dari aspek paparan lukisan 3D di galeri kami yang mana ia mencakupi lukisan permainan tradisional di zaman kanak-kanak.

“Itu juga adalah konten yang perlu dikemas kini dari semasa ke semasa yang mana lukisan-lukisan yang dipaparkan di muzium, akan diganti setahun sekali,” katanya sambil menambah, pertukaran lukisan di muzium bergantung kepada keadaan dan idea tiga orang pelukis tempatan yang dilantik.

Kata Lukman, sekiranya tiada aral melintang, Muzium 3D Kertih akan dibuka secara rasmi pada 21 Februari nanti. – SuaraMerdeka

Galeri 3D pertama di Terengganu dibuka di Kertih

KEMAMAN – Jika sebelum ini Kertih dikenali sebagai pusat industri minyak dan gas terbesar di Asia Tenggara, kini bandar yang terletak di pesisir pantai Laut China Selatan itu mempunyai tarikan baharu, terutama pelancong.

Ia susulan pembukaan sebuah galeri seni tiga dimensi (3D) yang pertama seumpamanya di Terengganu.

Dibuka mulai 2 Januari lalu, Muzium 3D Kertih bakal menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini, khususnya di Kemaman.

Diusahakan oleh tiga beradik yang juga anak jati Kertih, galeri dengan keluasan kira-kira 5,000 kaki persegi itu juga tercatat sebagai galeri 3D terbesar di Pantai Timur.

Salah seorang pengunjung berinteraksi dengan lukisan yang dipamerkan.

Muzium 3D Kertih yang dibuka di rumah perkedaian satu setengah tingkat milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Bandar Baru Kertih.

Menurut Pengurus Galeri Muzium 3D Kertih, Abdul Halim Ismail, idea pembukaan galeri 3D itu tercetus sejak dua tahun lalu namun hanya dapat direalisasikan pada penghujung tahun lalu.

“Kita berharap dengan adanya galeri 3D ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Kertih, sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya hari ini.

Muzium 3D Kertih dibuka setiap hari kecuali Selasa dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Manakala untuk warganegara asing pula dikenakan bayaran masuk RM25 dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

“Pengunjung jangan bimbang kerana sempena pembukaan Muzium 3D Kertih ini, kami menawarkan harga promosi iaitu RM10 untuk dewasa serta RM5 bagi kanak-kanak,” katanya.

Abdul Halim berkata, Muzium 3D Kertih mendapat sambutan luar biasa ketika tiga hari promosi masuk percuma diadakan pada 2 hingga 4 Januari lalu.

“Kita sengaja memberi peluang terutama masyarakat tempatan untuk datang dan menikmati hasil seni lukis kami di galeri ini dan Alhamudlillah hampir semuanya menyatakan kepuasan,” katanya.

Lebih 30 lukisan yang dituangkan pada dinding itu dihasilkan oleh tiga pelukis tempatan dengan memaparkan elemen-elemen sejarah, kesenian dan kebudayaan Terengganu khususnya.

Justeru, Muzium 3D Kertih memberikan kelainan berbanding muzium serupa yang ada di negara ini, katanya. – Edisi 9