KERTIH terletak di tengah-tengah perjalanan darat antara Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu, Terengganu atau Kemaman-Dungun. Bandar ini mempunyai akses ke Lebuhraya Pantai Timur II (LPT2) dengan jarak paling dekat iaitu 10 km dari Plaza Tol Kertih.

Bandar Baru Kertih merupakan satu-satunya kawasan komersial dan perniagaan yang ada di sini yang telah wujud sejak tahun 1980-an lagi. Kawasan ini mudah dicapai kerana kedudukannya. Manakala premis makanan segera McDonald’s menjadi penanda lokasi paling mudah.


BERKERETA / BAS PELANCONG:

Dari Kuala Lumpur/Lembah Klang/Kuantan menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) dan keluar melalui Plaza Tol Kertih. Jarak dari Plaza Tol Kertih ke Muzium 3D Kertih kira-kira 10 kilometer.

Anda juga boleh menggunakan jalan persekutuan di pesisir pantai dari Kuantan melalui bandar Chukai di Kemaman dan seterusnya mengambil laluan ke Dungun. Anda akan melalui beberapa bandar lain seperti Kijal dan Kemasik sebelum tiba di Bandar Baru Kertih.

Dari Kota Bharu pula, anda boleh menggunakan laluan LPT2 dan keluar melalui Plaza Tol Kertih atau menggunakan jalan persekutuan pesisir pantai melalui bandar raya Kuala Terengganu melalui Marang, Dungun dan seterusnya ke Kertih.


BAS EKSPRES

Jika menggunakan bas ekspres dari Stesen Bas Larkin di Johor atau Terminal Bas Bersepadu (TBS) di Kuala Lumpur atau dari Kota Bharu dan Kuala Terengganu, anda boleh memilih destinasi ke Kertih.

Bas-bas ekspres akan berhenti di Stesen Bas Kertih yang hanya berjarak 500 meter dari galeri kami.

Begitu juga bagi perjalanan dari Kertih ke Lembah Klang, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan, bas-bas ke destinasi tersebut boleh diambil di stesen bas ini.


KAPAL TERBANG

Bagi pelancong asing atau tempatan yang mahu menaiki kapal terbang, anda boleh mengambil penerbangan Firefly dan Malindo Air dari Subang Terminal Airport ke Lapangan Terbang Kertih. Dari situ, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi atau Grab ke Muzium 3D Kertih yang berjarak kira-kira 6 kilometer atau 10 minit perjalanan.

Anda juga boleh mengambil penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan atau Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Daripada situ, anda boleh mengambil perkhidmatan teksi/Grab untuk ke Kertih.