Muzium 3D Kertih: Tarik pelancong, cipta peluang pekerjaan komuniti setempat

SEJAK tahun 2018 lagi, idea untuk membuka sebuah muzium di Kertih, Terengganu berlegar-legar dalam kepala Lukman Ismail.

Ketika itu, beliau tidak mampu untuk merealisasikan impiannya itu disebabkan tuntutan tugas dan tanggungjawab yang digalas di bahunya sebagai salah seorang Pengarang di Utusan Malaysia.

Sebulan sebelum Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar, Lukman atau mesra dengan panggilan Luke dalam kalangan wartawan Utusan Online suatu ketika dahulu, mengambil keputusan untuk mendaftarkan sebuah syarikat sebagai penampan masa hadapan sekiranya berlaku sesuatu yang menjejaskan diri dan keluarganya.

Ternyata firasat beliau benar belaka apabila sebulan selepas mendaftar syarikat Serata Cakra Resources, Utusan gulung tikar dan beliau antara kira-kira 815 kakitangan yang kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Hari ini, sebagai Pengarah Urusan di Serata Cakra Resources, Lukman berjaya membuka Muzium 3D Kertih yang telah pun beroperasi sejak awal tahun ini iaitu pada 2 Januari, baru-baru ini.

Memenuhi undangan sebagai tetamu jemputan dalam segmen secara langsung di Suara Merdeka, Live Suara Merdeka pada tengah hari tadi, Lukman melahirkan rasa syukur kerana bukan sahaja dapat membuka muzium tersebut tetapi secara tidak langsung, mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat atau komuniti sekitar Kertih, Terengganu.

“Saya bersyukur kerana dapat membuka Muzium 3D di Kertih kerana sebelum ini, sebagai anak jati Kertih, saya tertanya-tanya, kenapa kita tidak ada muzim yang boleh menjadi salah satu tarikan pelancongan domestik dan luar negara.

“Hasrat itu lahir pada tahun 2018 tetapi tidak dapat dilakukan sehinggalah selepas Oktober 2020, selepas setahun hilang pekerjaan.

“Dengan modal RM15,000 saya memulakan langkah untuk membuka Muzium 3D Kertih dan menghadapi cabaran kerana harga barang di Kertih begitu tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kewujudan Muzium 3D Kertih ini telah mendapat perhatian daripada Muzium Negeri Terengganu dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri.

“Muzium Negeri Terengganu telah menghantar beberapa wakil mereka untuk memberikan khidmat nasihat kepada kami terutama dari segi kandungan galeri kami.

“Manakala pihak MOTAC Terengganu pula menyatakan komitmen untuk membantu kami terutama memberikan penilaian kepada galeri kami,” katanya.

Tujuan dibuat penilaian adalah untuk mengembangkan status Muzium 3D Kertih yang dibina di atas keluasan tapak 5,000 kaki persegi itu.

“Penarafan atau sokongan daripada pihak MOTAC dan Muzium Negeri Terengganu amat bermakna bagi saya dan segala khidmat nasihat untuk penambahbaikan ke atas Muzium 3D ini diberi oleh para pegawai berkenaan.

“Antara khidmat nasihat yang dihulurkan adalah dari aspek paparan lukisan 3D di galeri kami yang mana ia mencakupi lukisan permainan tradisional di zaman kanak-kanak.

“Itu juga adalah konten yang perlu dikemas kini dari semasa ke semasa yang mana lukisan-lukisan yang dipaparkan di muzium, akan diganti setahun sekali,” katanya sambil menambah, pertukaran lukisan di muzium bergantung kepada keadaan dan idea tiga orang pelukis tempatan yang dilantik.

Kata Lukman, sekiranya tiada aral melintang, Muzium 3D Kertih akan dibuka secara rasmi pada 21 Februari nanti. – SuaraMerdeka

Galeri 3D pertama di Terengganu dibuka di Kertih

KEMAMAN – Jika sebelum ini Kertih dikenali sebagai pusat industri minyak dan gas terbesar di Asia Tenggara, kini bandar yang terletak di pesisir pantai Laut China Selatan itu mempunyai tarikan baharu, terutama pelancong.

Ia susulan pembukaan sebuah galeri seni tiga dimensi (3D) yang pertama seumpamanya di Terengganu.

Dibuka mulai 2 Januari lalu, Muzium 3D Kertih bakal menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini, khususnya di Kemaman.

Diusahakan oleh tiga beradik yang juga anak jati Kertih, galeri dengan keluasan kira-kira 5,000 kaki persegi itu juga tercatat sebagai galeri 3D terbesar di Pantai Timur.

Salah seorang pengunjung berinteraksi dengan lukisan yang dipamerkan.

Muzium 3D Kertih yang dibuka di rumah perkedaian satu setengah tingkat milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Bandar Baru Kertih.

Menurut Pengurus Galeri Muzium 3D Kertih, Abdul Halim Ismail, idea pembukaan galeri 3D itu tercetus sejak dua tahun lalu namun hanya dapat direalisasikan pada penghujung tahun lalu.

“Kita berharap dengan adanya galeri 3D ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Kertih, sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya hari ini.

Muzium 3D Kertih dibuka setiap hari kecuali Selasa dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Manakala untuk warganegara asing pula dikenakan bayaran masuk RM25 dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

“Pengunjung jangan bimbang kerana sempena pembukaan Muzium 3D Kertih ini, kami menawarkan harga promosi iaitu RM10 untuk dewasa serta RM5 bagi kanak-kanak,” katanya.

Abdul Halim berkata, Muzium 3D Kertih mendapat sambutan luar biasa ketika tiga hari promosi masuk percuma diadakan pada 2 hingga 4 Januari lalu.

“Kita sengaja memberi peluang terutama masyarakat tempatan untuk datang dan menikmati hasil seni lukis kami di galeri ini dan Alhamudlillah hampir semuanya menyatakan kepuasan,” katanya.

Lebih 30 lukisan yang dituangkan pada dinding itu dihasilkan oleh tiga pelukis tempatan dengan memaparkan elemen-elemen sejarah, kesenian dan kebudayaan Terengganu khususnya.

Justeru, Muzium 3D Kertih memberikan kelainan berbanding muzium serupa yang ada di negara ini, katanya. – Edisi 9

3D Kertih, pertama di Terengganu

Bagi rakyat Terengganu khususnya di Kertih jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Muzium 3D Kertih, galeri lukisan tiga dimensi yang pertama di Terengganu malah terbesar di Pantai Timur.

Bakal beroperasinya bermula 2 Januari 2021, Muzium 3D Kertih terletak di Lot 10 & 11, Bandar Baru Kerteh bersebelahan JPN yang menempatkan lebih 30 lukisan tiga dimensi hasil sentuhan pelukis tempatan.

Kami difahamkan, Muzium 3D Kertih telah diilhamkan sejak dua tahun lalu namun hanya dapat direalisasikan sejak 2020 lalu.

Salah seorang pelukis sedang menyiapkan lukisan di Muzium 3D Kertih
Ia hasil usaha bersama tiga beradik yang juga anak jati Kertih. dan pembukaan muzium 3D ini diharapkan dapat menceriakan Bandar Baru Kertih, menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa sekali gus menjana ekonomi penduduk.

Sempena pembukaannya kepada umum mulai 2 Januari, galeri ini akan dibuka secara percuma untuk tempoh terhad iaitu mulai 9 pagi hingga 5 petang.

Antara lukisan tiga dimensi yang sedang disiapkan di Muzium 3D Kertih
Jangan lupa pula untuk mengikuti prosedur standard operasi pula iaitu dengan wajib memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan, menggunakan sanitasi tangan selain menjaga penjarakan fizikal.

Ayuh warga Kertih, jom singgah ke Muzium 3D Kertih. – KliqNews